SINGAPURA – Pada Sabtu lalu, masyarakat Islam di Singapura berbangga apabila nama presiden pertama republik itu, Tun Yusof Ishak, anak Melayu tunggal yang pernah menjadi ketua negara tersebut; diabadikan pada sebuah masjid baharu di Woodlands.
BACA : Akhirnya Baru Ada Masjid Nama Presiden Singapura
Majlis pecah tanah yang dibuat secara penuh meriah itu dirasmikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Prof. Dr. Yaacob Ibrahim dan turut dihadiri balu pemimpin tersebut, Toh Puan Noor Aishah Md. Salim.
Selang lima hari kemudian, umat Islam Singapura yang cuma kelompok minoriti dengan 15 peratus daripada 5.5 juta penduduk, menerima satu lagi berita gembira apabila sebuah masjid baharu akan dibina, kali ini di Tampines North.
Yaacob menjelaskan, ia merupakan masjid ke-27 yang dibiayai secara langsung di bawah Dana Pembinaan Masjid Yayasan Mendaki dan menjadi masjid ke-71 di bawah pentadbiran langsung pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Sekadar rekod, ada sebuah lagi masjid yang diuruskan sendiri oleh kerajaan Malaysia menerusi Jabatan Agama Islam Johor iaitu Masjid Temenggong Daeng Ibrahim di Teluk Blangah; dan secara protokol dianggap sebagai wilayah Malaysia.
Uniknya, Yaacob memberitahu stesen radio tempatan Warna 94.2 FM, sebanyak sembilan buah masjid telah dinaik taraf sejak enam tahun dan lima lagi bakal diperluaskan sepanjang tahun ini yang melibatkan keseluruhan 87,300 ruang solat baharu.
Selain menambah masjid, banyak program dibuat bagi memenuhi keperluan pendidikan agama khusus masyarakat Islam Singapura termasuk meningkatkan jumlah pelajar yang ingin memasuki program aLIVE; seumpama KAFA di Malaysia.
Pusat-pusat kelas aLIVE akan menawarkan sesi tambahan pada hari biasa dan hujung minggu, malah waktu operasinya juga dilanjutkan bagi membolehkan program itu menampung lebih 16,000 pelajar atau tambahan 12 peratus pelajar.
Kurikulum dan format aLIVE yang lebih menarik akan dilaksanakan bermula tahun ini, selain menambah baik kelas khas dewasa menerusi lapan lagi modul baharu tahun ini untuk pelajar program pembelajaran agama golongan dewasa.
Meskipun sejak 1974, pemerintah melarang keras alat pembesar suara dihala ke luar bagi melaungkan azan, jumlah umat Islam di Singapura semakin bertambah dan ini boleh dilihat setiap kali solat Jumaat apabila semua masjid melimpah ruah dengan jemaah.
Bahkan, setiap kali program keagamaan diadakan di masjid seperti ceramah agama oleh pendakwah terkenal dari Malaysia, sambutan masyarakat Muslim tempatan amat luar biasa, sekali gus membuktikan syiar Islam teguh di Singapura.
Sekadar renungan, jika dulu, penganut Islam di republik itu gempar dengan MCA (Malays Christianity Association) berdakwah memurtadkan remaja Muslim, kali ini mereka bersyukur ada lagi MCA baharu – Muslim Converts’ Association. – Agensi/Mynewshub