TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 150 tong gas memasak dalam satu operasi di perairan daerah ini semalam.
Ketua Penguatkuasa APMM Tawau Kapten Anor Jaafar berkata kesemua gas itu dirampas dalam sebuah bot jongkong yang dipercayai dalam perjalanan dari Tawau ke Nunukan, Indonesia kira-kira pukul 5.10 pagi.
“Seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, merupakan juragan bot jongkang berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kesemua rampasan itu dibawa ke jeti APMM untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cuba menyeludup keluar barang bersubsidi ke negara jiran.
Anor berkata pihaknya akan terus mempertingkat usaha membanteras kegiatan penyeludupan keluar barangan kawalan ke negara jiran.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan berkenaan agar menghubungi talian 089-752115 yang beroperasi secara 24 jam untuk membuat laporan. – BERNAMA