KUALA LUMPUR – Anggota gabungan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebulat suara bersetuju dengan penggubalan perlembagaan baharu badan induk sukan itu yang antara lain menyaksikan pewujudan dua jawatan timbalan presiden.
Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah menurut perlembagaan baharu itu, dua jawatan timbalan presiden itu masing-masing perlu diisi oleh lelaki dan wanita, seperti yang diputuskan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) MHC hari ini.
“Dalam perlembagaan baharu nanti terdapat beberapa pindaan dalam struktur organisasi yang mana ‘governing council’ (majlis tertinggi) digugurkan.
“Ini bermakna jawatan setiausaha agung turut digugurkan dan diganti dengan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO),” titah baginda kepada pemberita selepas mempengerusikan EGM itu di sini hari ini.
Menurut perlembagaan baharu itu, MHC akan dipimpin seorang presiden selain mempunyai dua timbalan presiden, tujuh naib presiden selain seorang CEO dan bendahari.
Jawatan timbalan presiden MHC kini disandang Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah. – BERNAMA