ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 39 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh menerusi Ops Sapu dan Ops Pintu di Kota Setar dan Kubang Pasu, awal hari ini.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata operasi bermula 1.30 pagi itu sebanyak 20 lelaki dan tujuh wanita Myanmar serta lima lelaki Bangladesh berumur antara 17 dan 40 tahun ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.
Turut ditahan katanya, tujuh kanak-kanak warga Myanmar iaitu lima lelaki dan dua perempuan berumur antara enam bulan dan 10 tahun.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(pindaan 2002) kerana tiada dokumen dan pas yang sah untuk tinggal di negara ini.
“Operasi yang diketuai Penolong Pengarah Imigresen negeri, Nar Azaman Ibrahim tertumpu di tempat tinggal warga asing di sekitar bandar raya serta Kodiang dan Jerlun di Kubang Pasu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Yusri berkata ketika pemeriksaan dilakukan beberapa warga asing cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat satu sebuah bangunan rumah kedai, namun gagal melarikan diri selepas diberkas anggota penguatkuasa.
Katanya, modus operandi warga asing adalah dengan menyewa rumah di luar kawasan tempat mereka bekerja bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Beliau berkata kesemua PATI yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA