ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam “Ops Sapu” di beberapa rumah sekitar Jitra, Kepala Batas dan Kodiang, hari ini.
Pengarah Imigresen negeri Mohamad Yusri Hashim di dalam satu kenyataan hari ini berkata, operasi selama tiga jam bermula 1 pagi tadi itu diketuai Penolong Pengarah Imigresen Kedah, Nar Azaman Ibrahim.
Ia melibatkan pemeriksaan ke atas 55 warga asing dan penahanan enam warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar, katanya.
Menurutnya, kesemua warga asing terbabit kini ditahan sementara di Lokap Imigresen Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.
Kesemua mereka ditahan kerana melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa. – BERNAMA