KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad mengingatkan ahli parti itu supaya menjaga tingkah laku supaya tidak mengalami kesusahan semasa di akhirat kelak.
Menurut beliau, mereka yang gagal menjaga tingkah laku bukan sahaja akan susah semasa hidupnya, malah turut menghadapi kesusahan selepas kematiannya.
“Jagalah tingkah laku agar kita tidak susah di akhirat. Jangan sampai hidup susah, mati pun susah,” katanya dalam satu entri Facebook beliau semalam.
Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor berkata, bukan mudah menjadi ahli PAS.
Katanya, PAS mengalami saat-saat sukar semasa menjadi pembangkang dan juga semasa berada dalam kerajaan negeri.
“Tetapi biarlah sebarang kepayahan itu berbaloi. Kalau tidak dapat senang di dunia, biarlah senang di akhirat,” katanya. – mynewshub.cc