SEPANG – Syarikat penerbangan jarak jauh, AirAsia X Bhd, yakin dapat mencatatkan pemulihan tahun ini dengan pelaksanaan pengurusan kapasiti dan penyusunan semula.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Kamarudin Meranun berkata syarikat itu menyaksikan aliran positif pada Februari dan Mac dari segi tambang asas dan pembelian tiket.
“Pengurusan kapasiti bukan untuk pengurangan, tetapi bagaimana untuk menyelaraskan syarikat bagi mendapatkan unjuran yang tepat, selepas tahun yang mencabar tahun lepas berikutan tiga insiden penerbangan.
“Dalam suku pertama, kami melaksanakan lebih banyak penyepaduan penjimatan kos dengan melihat pada apa juga laluan yang kami boleh tambah, serta penerbangan sewa khas.
“Ini merupakan langkah sementara sehingga kami membangunkan lebih banyak laluan berdaya maju dari segi komersial,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa AirAsia X di sini, hari ini.
Tahun lepas, AirAsia X mencatatkan kerugian sebelum cukai tinggi sebanyak RM605.18 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM212.06 juta yang dicatatkan pada 2013.
AirAsia X berkata kerugian sebelum cukai itu adalah disebabkan oleh perbelanjaan operasi tinggi sebanyak RM3.32 bilion bagi 2014, meningkat 33.9 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz berharap cadangan Majlis Penerbangan Kebangsaan (NAC) akan memulakan rangka kerja pan-ASEAN bagi industri penerbangan apabila Malaysia menjadi pengerusi ASEAN tahun ini.
“NAC itu adalah bagi Malaysia, tetapi kita merasakan tepat pada masanya untuk menggunakan platform ini bagi melihat sama ada kita boleh merangka parameter untuk mengembangkan industri penerbangan ASEAN,” katanya.
Beliau berkata NAC harus menjadi badan bebas dengan tidak lebih enam anggota menyertainya yang terdiri daripada pakar dalam industri penerbangan dan tidak ada kaitan dengan mana-mana pengendali penerbangan.
Tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan NAC untuk menyelaraskan semua dasar berkaitan dengan industri penerbangan.
Ia termasuk isu-isu berbangkit antara Malaysia Airlines, AirAsia Bhd, dan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd. – BERNAMA
https://youtu.be/UBsacOJ-Xno