WASHINGTON DC – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama lewat Khamis mula memberi maklum balas terhadap petisyen bagi usul pembebasan pemimpin pakatan pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan ringkas White House malam tadi menerusi laman rasmi We the People, kerajaan AS berkata, pihaknya berasa kecewa dengan sabitan hukuman penjara lima tahun dikenakan ke atas Anwar oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari.
White House namun telah membuat pendirian jelas termasuk menerusi kenyataan rasmi dengan kerajaan Malaysia dan akan meneruskan usaha selanjutnya kerana berpandangan, hukuman ‘berat’ ke atas Anwar boleh mencetuskan kebimbangan serius.
AS berpendapat, kerisauan itu turut timbul disebabkan hasrat kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak memperluaskan undang-undang Akta Hasutan menjadi lebih ‘keras’ di sebalik usaha tegas ‘menekan’ kritikan pembangkang.
Petisyen menerusi We the People itu, mula dikemukakan pada hari sama Anwar dijatuhi hukuman bulan lalu; oleh seseorang bernama J.M. dari Alexandria, sebuah bandar di negeri Virginia, yang terletak 10 kilometer di selatan ibu kota AS, Washington DC.
BACA : Rakyat Indonesia Kumpul Duit Syiling Bayar Balik PM Australia
Dia menerusi petisyen yang sudah ditandatangani 113,799 pada pukul 8 malam Khamis (8 pagi Jumaat waktu Malaysia) mendesak kerajaan AS membebaskan Anwar sebagai keutamaan dasar luar kuasa besar dunia itu terhadap kedaulatan Malaysia.
Banyak pihak di Malaysia termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan petisyen itu sebagai salah satu bentuk amat nyata ‘pencerobohan’ oleh pihak asing terhadap keluhuran sistem kehakiman negara.
Ia sekali gus mendedahkan penyokong pembangkang di Malaysia kini makin terdesak sanggup berbuat apa sahaja termasuk meminta campur tangan kuasa besar dunia demi kepentingan mereka walaupun mengancam kedaulatan tanah air sendiri.
Lebih menimbulkan tanda tanya, ada berpendapat, petisyen itu mendapat ‘sokongan’ pihak AS kerana dimulakan di Virginia, sebuah negeri yang menempatkan ibu pejabat Pentagon, iaitu Jabatan Pertahanan AS dan markas induk agensi perisikan negara itu.
Ahmad Shabery turut mempersoalkan ketelusan We the People kerana sebelum itu usul pembebasan Anwar boleh ‘terpadam’ sebelum tiba-tiba muncul semula, sekali gus sistem petisyen secara talian itu boleh dimanipulasi pihak berkepentingan. – Agensi