KUALA LUMPUR – Meskipun tidak mendapat sambutan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) tetap menganggap perhimpunan haram #KitaLawan di ibu negara semalam sebagai berjaya.
Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perhimpunan itu berjaya kerana desakan mereka supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara didengari seluruh negara.
“AMK ucapkan tahniah kepada ribuan rakyat Malaysia yang bersama-sama menyokong himpunan #KitaLawan. Pada masa yang sama himpunan #KitaLawan di lokasi-lokasi seluruh dunia diadakan dengan jayanya.
“Kejayaan perjuangan ini bukannya akan datang mudah, tetapi dengan usaha gigih dan berterusan insya-Allah impian kita untuk melihat Malaysia yang lebih baik akan tercapai,” dakwanya dalam satu kenyataan semalam.
Nik Nazmi dalam pada itu mengucapkan penghargaan atas kerjasama baik pihak poli dalam mengawal perhimpunan itu tanpa sebarang provokasi.
Beliau dalam pada itu mendakwa nombor telefon beliau digodam sewaktu menyertai perhimpunan #KitaLawan di ibu negara semalam.
Beliau mendakwa, penggodam tidak bertanggungjawab itu menghantar mesej berunsur provokasi dengan menggunakan nombor telefon beliau.
Perhimpunan itu bagaimanapun secara realiti sangat hambar kerana gagal meraih sokongan ramai kerana hanya disertai cuma beberapa ribu penyokong tegar Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Lebih memalukan usaha meraih simpati untuk Anwar itu ditertawa dan dikutuk oleh ramai pengguna media sosial yang melihat ia sebagai perkara bodoh untuk dilakukan.
– MYNEWSHUB.CC