KUCHING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuching hari ini melakukan pelayaran ihsan bagi menyelamatkan seorang kru kapal dagang yang memerlukan bantuan perubatan di perairan Tg Sipang, dekat sini.
Leftenan Madya Maritim Muhammad Hainizam Mohd Jamil berkata awal pagi tadi, pusat operasi APMM Kuching, menerima panggilan kecemasan dari kapten Kapal Bulk Denmark yang sedang belayar dari Afrika Selatan ke China memohon bantuan perubatan kerana seorang anak kapalnya tenat.
“Setibanya Kapal Bulk Denmark kira-kira 18 Batu Nautika dari Perairan Tg. Sipang pada 5.40 pagi, Bot Penggalang APMM yang ditugaskan dalam operasi bantuan itu bergerak menuju ke titik lokasi penemuan untuk mengambil Bentheodore J. Baritugo, 53, kru kapal warga Filipina,” katanya, di sini hari ini.
Muhammad Hainizam berkata anak kapal berkenaan kemudiannya dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan kira-kira 9 pagi. – BERNAMA