ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menegaskan bahawa kenderaan mereka tidak terlibat membawa peserta-peserta perhimpunan #KitaLawan yang berlangsung semalam.
Ia berikutan tersebarnya gambar kenderaan awam bernombor pendaftaran KDV 6929 yang tertera perkataan ‘FERI SEKOLAH ANGKATAN TENTERA MALAYSIA’ yang dikatakan diguna untuk mengangkut peserta #KitaLawan di Dewan Sivik MBPJ.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, pihak ATM menegaskan bahawa kenderaan terbabit adalah milik sebuah syarikat swasta.
Difahamkan syarikat swasta tersebut, menyediakan perkhidmatan kenderaan tersebut untuk anak-anak warga ATM dari kuarters ke sekolah-sekolah di Kuala Lumpur.
ATM memaklumkan, mereka tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada syarikat swasta itu untuk mengangkut peserta-peserta perhimpunan tersebut.
Pihak syarikat tersebut  yang dihubungi ATM pula dilaporkan memberitahu, kenderaan itu disewa oleh orang awam  yang tidak ada kaitan dan bukan di bawah kawalan ATM.
Susulan itu, ATM telah mengarahkan syarikat swasta berkenaan memberikan penjelasan rasmi beserta laporan tentang isu yang telah mencalarkan imej ATM ini, selain bakal mengkaji semula langkah-langkah dan tindakan susulan.
ATM turut menyeru masyarakat supaya tidak mempercayai segala penyebaran berita palsu mengenai ATM.
-MYNEWSHUB.CC