KEPERLUAN material dan kehidupan moden yang mendesak pada hari ini, membuatkan majoriti pasangan suami isteri di kawasan bandar dan luar bandar terpaksa bekerja untuk memastikan ekonomi keluarga berada pada paras selesa.
Bagaimanapun apabila kedua-dua tonggak keluarga keluar bekerja, berlaku dilema dari segi mendidik anak-anak menjadi manusia berguna.
Masa berkualiti antara ibu bapa dan anak menjadi kurang yang dalam jangka panjang berpotensi menjadikan sesuatu keluarga itu berhadapan dengan krisis sosial.
Hakikatnya, jika ibu bapa lebih banyak menghabiskan masa bersama anak-anak bagi mendidik mereka, maka lebih cerah peluang anak-anak berkenaan akan membesar menjadi insan yang berguna.
Malah, hubungan antara suami isteri juga boleh bertambah baik jika kedua mereka dapat lebih kerap bersemuka dan tidak terlalu banyak menghabiskan masa di pejabat.
Atas kesedaran inilah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan projek perintis dinamakan Flexible Working Arrangement atau Aturan Kerja Anjal.
“Kami hendak memastikan ada keseimbangan dari segi kerja dan kehidupan sebagai suri rumah, ayah dan sebagainya.
“Bagi memastikan kami “walk the talk” (laksanakan apa yang kami war-warkan) maka projek perintis dimulakan di kementerian ini terlebih dahulu,” ujar Menteri KPWKM Datuk Seri Rohani Abdul Karim kepada Mynewshub ketika ditemui di Parlimen, pada Rabu.
Terdapat tiga kaedah yang dirangka dalam Aturan Kerja Anjal yang sudah dimulakan oleh 65 warga KPWKM pada 16 Mac lalu.
Kaedah pertama melibatkan pekerjaan dilakukan pada waktu pejabat tetapi di luar pejabat seperti di rumah.
Menerusi cara ini pekerja dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga seperti mengasuh anak yang masih bayi atau memasak untuk keluarga meskipun pada masa sama, masih menggalas tanggungjawab terhadap tugasan pejabat.
Kaedah kedua pula masih memerlukan pekerja hadir ke pejabat namun diberikan pilihan untuk memilih waktu kerja paling sesuai, asalkan memenuhi jam bekerja ditetapkan dalam seminggu iaitu 38 jam 30 minit.
Bagaimanapun pesan Rohani, masa yang dipilih tidak boleh terlalu ekstrem atas dasar keselamatan iaitu berpandukan waktu teras dari jam 10 pagi hingga 3.30 petang.
Bagi kaedah ketiga, pekerja diberi kebenaran mengubahsuai tempoh waktu bekerja mingguan untuk memastikan mereka memperoleh hari cuti lebih lama.
Contohnya memanjangkan tempoh kerja harian bagi membolehkan mereka mula bercuti pada hari Jumaat setiap minggu.
Mengulas tentang kakitangan KPWKM yang terlibat dalam projek perintis Aturan Kerja Anjal, Rohani menjelaskan permohonan untuk menyertainya telah dibuka kepada semua pekerja di bawah kementerian tersebut yang memperoleh appraisal 85 peratus ke atas sebagai tanda penghargaan buat mereka.
Hasilnya 65 orang terpilih meliputi 20 kakitangan lelaki dan 45 wanita untuk memulakan program itu mengikut kaedah pilihan masing-masing bermula 16 Mac lalu.
Kesemua mereka akan terlibat dalam program berkenaan selama 3 bulan sebelum hasilnya dikaji dan dibuat penambaikan jika perlu kata beliau.
Rohani berkata, selepas itu barulah program itu akan dikongsikan (pelaksanaannya) dengan kementerian, jabatan dan agensi yang lain.
“Insya-Allah Aturan Waktu Kerja Anjal dapat memastikan wanita kekal bekerja namun pada masa sama, memberikan kesejahteraan dalam hubungan suami isteri terutama dari segi masa bekerja,” ujar Rohani.
Tambah beliau, perlaksanaan waktu kerja anjal dibuat pihaknya sebagai menyahut cadangan yang pernah dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.- MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=1r5yNSqDBUU
TEKS: Rem Ramzi
GAMBAR/VIDEO: Riza Razak