Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL2015) telah selamat melabuhkan tirainya yang menyaksikan drama Rindu Awak 200% menang besar sebanyak empat kategori daripada tujuh kategori yang dipertandingan pada malam Sabtu lalu.
Kategori yang dimenangi adalah Drama Pilihan, Penulis Skrip Drama Pilihan, Pengarah Pilihan dan Pelakon Lelaki Drama Pilihan.
BACA: Ayda Jebat Masih Mengutamakan Bidang Nyanyian
Dalam pada itu, heroin drama berkenaan iaitu Ayda Jebat hanya pulang kosong dan tewas ditangan selebriti wanita lain meskipun namanya diramal menang dalam anugerah tersebut.
Kekalahan ini pastinya sedikit sebanyak menimbulkan perasaan sedih dan kecewa aktres comel ini apabila dua lagi kategori yang melibatkan dirinya iaitu kategori Pelakon Wanita Drama Pilihan dan Hero & Heroin Drama Pilihan tidak menyebelahi drama berkenaan.
“Sedih sebenarnya tapi semua ada potensi untuk menang. Bagi saya mungkin malam ini bukan rezeki tetapi mungkin di hari lain. Sama juga seperti sebelum ini yang sebenarnya saya tak sepatutnya berlakon dalam drama Rindu Awak 200%,” kata Ayda Jebat.
Bagaimanapun, Ayda Jebat akui dirinya terubat apabila drama Rindu Awak 200% berjaya menggodol Anugerah Utama pada malam berkenaan.
“Tapi dalam masa yang sama saya gembira kerana drama Rindu Awak 200% dijulang untuk kategori utama pada malam ini,†tambahnya lagi.
Populariti bintang keluaran rancangan realiti Akademi Fantasia ini dilihat semakin meningkat naik apatah lagi baru-baru ini Ayda berjaya memenangi memenangi kategori Pelakon Baru dan Top Top Meletop di Anugerah Meletop ERA 2015.
Tambahan pula, nama Ayda Jebat turut tercalon dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014 yang bakal berlangsung bulan hadapan. – MYNEWSHUB.CC