“SEKARANG ni ada ‘penyakit’ baru di kalangan pengundi-pengundi Anugerah Bintang Popular”.
Itu komentar yang diluahkan pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Nawawi mengenai fenomena masa kini, yang mana pengundi Anugerah Bintang Popular (ABP) kini bukannya merangkumi keseluruhan rakyat Malaysia sebaliknya kelab peminat seseorang artis itu yang gigih mengundi sehingga menenggelamkan prestij majlis anugerah itu dari tahun ke tahun.
Menurut Aznil atau Pak Nil, sekarang istilah populariti itu sudah hilang magisnya disebabkan keghairahan sesetengah peminat dan kelab peminat yang mengundi sehingga artis kesayangan mereka berjaya meraih trofi walaupun nama mereka suam-suam kuku di kalangan peminat hiburan tanah air yang lain.
“Mereka ada fan club (kelab peminat), bukannya diundi oleh peminat di Malaysia secara umum. Peminat dia je yang keluar duit, labur duit, ditaja oleh sesuatu produk. Kalau artis itu menang, dia akan bawa nama produk itu sekali sebagai kemenangan.
“Artis itu sendiri mahu ingatlah dia sebenarnya diundi oleh rakyat Malaysia atau peminat-peminat dia sahaja,” kata Aznil ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-19 di Cyberjaya, hari ini.
Pada majlis tersebut, Aznil telah dilantik menjadi Ikon Saya Cinta Malaysia yang bertujuan memberikan pendedahan mengenai pembayaran cukai yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.
Aznil turut menitipkan pesanannya kepada penganjur ABP supaya melihat cara lain yang lebih relevan memandangkan cara penggundian masa kini semestinya sudah jauh berbeza jika dibandingkan dengan penganjuran ABP pada tahun-tahun sebelumnya.
“Saya harus berpesan kepada penganjur ABP supaya melihat cara lain yang lebih relevan. Benda ini (cara penggundian di akhbar) mungkin berjaya di masa Eman Manan, Zainal Abidin.
“Sekarang dah masuk zaman media sosial dan juga dah ada fan club. Jadi bagaimana cara nak tunjukkan yang ditatang itu adalah yang sebenar-benarnya pilihan rakyat Malaysia.
“PIlihan rakyat Malaysia itu adalah populariti sebenarnya tapi kalau popular di kalangan peminat atau fan club mereka, saya rasa itu agak memberi gambaran yang salah mengenai pandangan populariti itu,” ujarnya lagi yang turut tercalon dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular bagi edisi ABP kali ini.
Ketika ditanya mengenai harapannya pada kali ini, Aznill tidak meletakkan harapan yang tinggi sebaliknya lebih gembira sekiranya kategori itu dimenangi pengacara lain yang turut tercalon dalam pencalonan tersebut.
“Kita nak pengacara akan datang jadi kepada mereka yang nak mengundi, tolonglah mengundi pengacara yang akan datang, saya tak mengharapkan kemenangan,” katanya lagi.
Pak Nil akan bersaing bersama-sama pemenang tahun lalu, Datuk AC Mizal, hos Melodi, Awal Ashaari, Zizan Razak dan AG Hot FM.
Acara kemuncak ABP edisi ke-28 akan berlangsung pada 5 April ini bertempat di Arena of Stars, Genting Highlands. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: JULIANA JOHAR
Photo/Video: RIZA RAZAK
https://www.youtube.com/watch?v=XYf9ude0ipo&feature=youtu.be