DENPASAR – Buat tahun ke-16 berturut-turut, lapangan terbang antarabangsa Gusti Ngurah Rai Bali di sini ditutup Sabtu selama 24 jam daripada semua penerbangan sempena perayaan terbesar masyarakat Hindu tempatan dikenali Hari Raya Nyepi.
Sambutan keagamaan tahunan utama tersebut sebenarnya merupakan Tahun Baharu Saka mengikut kepercayaan penganut Hindu di pulau popular Indonesia itu dan kali ini Tahun Baharu 1937 Saka mengikut kalendar tempatan jatuh pada 21 Mac ini.
PT Angkasa Pura 1 Denpasar, syarikat pengurusan lapangan terbang milik pemerintah Indonesia memaklumkan, sejumlah 422 penerbangan melibatkan 187 buah syarikat penerbangan dalam dan luar negara terlibat sepanjang tempoh penutupan itu.
“Ini membabitkan 258 penerbangan domestik oleh 10 syarikat penerbangan tempatan dan 164 penerbangan antarabangsa oleh 23 syarikat penerbangan luar negara,†kata Pengurus Besarnya, Ngurah Ardita kepada pemberita baru-baru ini.
Terminal lapangan terbang ketiga paling sibuk di Indonesia selepas Soekarno-Hatta Jakarta dan Juanda Surabaya itu akan ditutup operasi bermula tepat pada pukul 6 pagi 21 Mac sehingga 6 pagi 22 Mac (sama waktu dengan Malaysia).
Bagaimanapun, Ardita menjelaskan, pihak pengurusan turut menempatkan 500 petugas sebagai persediaan siap siaga jika ada perkara luar jangka seperti pendaratan kecemasan pesawat atau penerbangsan ihsan melibatkan pesakit kes kritikal.
Penutupan operasi rutin terminal selama seharian itu sudah dilaksanakan setiap tahun sejak 2000 lalu sebagai menghormati sambutan Hari Raya Nyepi oleh masyarakat Hindu Bali yang kuat berpegang kepada adat kepercayaan agama tersebut.
Pada hari Tahun Baharu Saka itu, kehidupan harian di seluruh pulau Bali sunyi sepi tanpa sebarang aktiviti termasuk tiada siaran menerusi stesen radio dan televisyen tempatan, malah penduduk tinggal di dalam rumah sepanjang perayaan itu.
Kecuali hospital, balai polis dan bomba yang masih beroperasi, pelancong dan penduduk bukan beragama Hindu akan diminta tidak keluar ke jalan raya pada hari itu melainkan ada urusan kecemasan demi memelihara sensitiviti perayaan. – Agensi