KOTA KINABALU – Sejumlah hampir RM1 juta yang berjaya dikutip akan diagihkan kepada 1,367 anggota polis yang terjejas banjir pada Disember dan Januari lepas, kata Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun hari ini.
Menurutnya, kutipan tersebut merupakan hasil pemotongan gaji anggota secara ‘one-off’ serta sumbangan ikhlas badan bukan kerajaan, individu dan kontinjen daripada setiap negeri.
“Anggota PDRM di negeri yang terjejas banjir termasuk Kelantan seramai 867, Pahang (316), Terengganu (143), Sabah (21) dan Sarawak (20).
“Sumbangan yang diberi berdasarkan penilaian kerugian yang dialami oleh anggota yang terjejas,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada anggota PDRM mangsa banjir di Ibu Pejabat Kontingen Sabah di sini.
Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan timbalannya Datuk Abdul Malik Harun.
Mohamad Fuzi berkata anggota yang mengalami kerugian di bawah RM30,000 akan menerima bantuan sebanyak RM500 manakala RM1,500 diberikan kepada anggota yang mengalami kerugian melebihi RM30,000.
Pada majlis itu, sebanyak 21 anggota polis di daerah terjejas banjir menerima sumbangan berjumlah RM10,500. – BERNAMA