AMPANG  – Berang terpilih mangsa yang ‘miskin’ menyebabkan dua lelaki bertindak membelasah seorang wanita sehingga pengsan, kelmarin.
Tindakan tidak berperikemanusiaan suspek itu apabila cubaan mereka memaksa mangsa berusia 24 tahun mengeluarkan wang di dalam bank gagal kerana akaun itu hanya ada tak sampai RM100.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa pada mulanya berjalan kaki di Stesen Transit Aliran (LRT) Pandan Jaya sebelum tiba-tiba dua lelaki menaiki kereta berhenti dan memaksa mangsa mengikut mereka.
Menurut sumber, suspek terus mengacukan pisau dan menarik wanita terbabit masuk ke dalam kereta.
“Sebaik berada di dalam kereta suspek terus menumbuk muka mangsa beberapa kali. Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah bank dan dipaksa mengeluarkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM),†katanya.
Sumber berkata, bagaimanapun suspek berang apabila mendapati akaun bank itu tidak mempunyai wang menyebabkan mereka terus memukul mangsa tanpa henti.
“Mereka mencampak kad ATM ke muka mangsa sebelum membelasahnya sehingga pengsan. Mangsa cedera teruk di muka, patah gigi dan lebam di badan.
“Mereka kemudian mencampak mangsa di tepi jalan sebelum beredar. Mangsa sedar tidak beberapa kemudian apabila dibantu orang awam,†katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan selanjutnya.
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
– myMetro Online