SATU berita mengejutkan yang dikongsikan ramai pihak tentang pemergian bintang komedi, Mr Os atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Abdul Hamid, ternyata tidak benar malah disangkal sendiri oleh tuan punya badan.
Memetik kenyataan Os di Berita Harian, “Saya masih hidup. Alhamdulillah. Terima kasih kerana ambil berat mengenai kesihatan saya.”
Menurut Os, dia dimasukkan ke Hospital Selayang selama lapan hari bagi menjalani pembedahan akibat pendarahan pada tonsil dan telah dibenarkan keluar Sabtu lalu.
Ujarnya lagi, dia tidak menghebahkan perkara tersebut kerana tidak mahu meminta simpati pihak luar, malah tindakan tersebut turut disifatkannya boleh menutup periuk nasi sendiri.
“Saya tidak mahu orang ingat saya sakit dan tidak kuat untuk mencari rezeki yang mana membuatkan orang tidak lagi mengambil saya bekerja. Kudrat saya masih kuat untuk kembali bekerja dan saya pun sudah hampir sembuh sepenuhnya.
“Buat masa ini saya belum lagi mengambil penumpang kerana tidak mahu ada yang takut dengan jahitan di leher saya ini,” katanya yang turut membawa teksi sebagai mata pencarian.
Selain Os, ahli keluarganya turut menyangkal khabar angin berkenaan.
Menerusi Twitter anak gadis Os, Syafiqa Hayra mengharapkan agar berita tersebut tidak disebarkan kerana ia palsu.
Dia turut memohon agar pihak-pihak berkaitan sensitif dengan tuduhan melulu tanpa usul periksa itu.
Berita tentang kematian Os yang juga ahli kumpulan Osbon heboh diperkatakan umum di media sosial sejak awal pagi tadi.
Turut disertakan bersama khabar tersebut adalah foto Os sedang terlantar di hospital.
– MYNEWSHUB.CC
Lawak Kumpulan Osbon, Maharaja Lawak Mega Musim Pertama