ALOR SETAR – Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dari sebuah bot nelayan di Perairan Tanjung Jaga, Pulau Bidan dekat Yan diteruskan hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Mohd Firdaus Bukari berkata pasukan penyelamat menjalankan operasi pencarian sejauh 6.5 batu nautika dari persisiran pantai.
Mohd Firdaus memberitahu, operasi yang bermula kira-kira pukul 10.30 pagi semalam terpaksa dihentikan pada pukul 7 malam berikutan kadar penglihatan pada sebelah malam sangat rendah.
“Kita terpaksa menghentikan operasi semalam dan hari ini operasi telah bermula sekitar pukul 8 pagi tetapi pasukan menyelamat menghadapi kesukaran berikutan keadaan laut bergelora,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam kejadian semalam, Azren Lateh, 35, yang berasal dari Jalan Kuala Kedah dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika hendak membaiki papan di bahagian belakang bot yang dinaiki bersama rakan yang lain.
Beliau berkata operasi mencari mangsa, disertai sembilan anggota bomba, serta lima penyelam dari unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Sungai Petani yang menggunakan dua bot bomba. – BERNAMA