KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kommisioner Jeneral Penjara yang menolak permohonannya untuk menghadiri mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 yang akan berakhir 9 April ini.
Anwar, 67, memfailkan permohonan itu hari ini di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Daim & Gamany.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri dan Kommisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama dan kedua.
Menerusi afidavit sokongan, Anwar yang kini berada di Penjara Sungai Buloh mendakwa bahawa beliau masih seorang anggota Dewan Rakyat dan Ketua Pembangkang memandangkan petisyen pengampunan yang dipohon kepada Yang Di-pertuan Agong masih belum diputuskan.
Beliau mengemukakan permohonan pengampunan untuk pembebasan itu pada 24 Feb lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
“Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 24 Feb lalu telah mengesahkan status saya sebagai Ahli Dewan Rakyat. Susulan itu, pada 25 Feb, peguam cara saya telah membuat permohonan bagi pihak saya kepada responden pertama dan memohon agar saya dibenarkan menghadiri Dewan Rakyat yang bermula pada 9 Mac hingga 9 April.
“Responden kedua menjawab surat saya dan telah menolak permohonan saya itu pada 4 Mac tanpa memberi apa-apa sebab dan responden pertama telah mengeluarkan beberapa kenyataan media bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membenarkan saya hadir ke Parlimen. Walhal responden kedua adalah bertanggungjawap kepada responden pertama menurut Seksyen 13 Akta Penjara 1995,” katanya menerusi afidavit tersebut.
Anwar mendakwa keputusan kedua-dua responden yang tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat tersebut adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal.
Beliau turut mendakwa bahawa masih mempunyai tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan Permatang Pauh dan memohon mahkamah membatalkan keputusan responden.
Sementara itu, peguam N. Surendran yang mewakili Anwar memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah memfailkan ‘certificate of urgency’ atau sijil perakuan segera supaya mahkamah mendengar kes itu secepat mungkin kerana Dewan Rakyat sedang bersidang.
Menurut peguam Latheefa Koya, yang juga mewakili Anwar, anak guamnya turut memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman secara ex-parte terhadap dua responden yang sama pada hari ini.
Anwar memohon satu perintah bahawa keputusan Kommisioner Jeneral Penjara bertarikh 4 Mac lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dibatalkan melalui satu perintah certiorari.
Turut dipohon ialah perintah berbentuk mandamus yang mewajibkan Kommisioner Jeneral Penjara membenarkan Anwar menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 9 Mac hingga 9 April dan satu deklarasi bahawa Anwar berhak menghadiri sidang tersebut.
Dua anak Anwar, Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai dan Nurul Nuha hadir di mahkamah semasa kedua-dua permohonan itu difailkan.
– BERNAMA