BEIJING – Perdana Menteri Li Keqiang memberi jaminan ekonomi kedua terbesar dunia itu tidak berada dalam deflasi kerana Indeks Harga Penggunanya (IHP) mencatatkan pertumbuhan positif dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
“IHP China mencatatkan pertumbuhan positif pada Januari, dan malahan pertumbuhan lebih tinggi pada Februari,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutup mesyuarat parlimen tahunan negara, di sini, pada Ahad.
Li berkata deflasi hanya berlaku apabila sesebuah negara mencatatkan paras pertumbuhan negatif dalam kadar IHP.
Data yang dikeluarkan oleh National Bureau of Statistics (NBS) pada 10 Mac menunjukkan inflasi China meningkat 1.4 peratus tahun ke tahun pada Februari, pulih daripada paras pertumbuhan terendah dalam tempoh lima tahun pada 0.8 peratus pada Januari.
Li juga menyangkal dakwaan bahawa China mengeksport deflasi, sebaliknya beliau percaya China “menerima” deflasi.
Beliau berkata tahun lepas, China mengimport sejumlah 310 juta tan metrik minyak mentah dan 930 juta tan metrik bijih besi.
“Kuantiti import dikekalkan, bagaimanapun, nilai import turun berikutan kejatuhan harga minyak global,” katanya sambil menambah beliau berharap pemulihan ekonomi global akan meraih momentum dan mencatatkan pertumbuhan pesat. – BERNAMA