MENJELANG pelaksanaannya bermula 1 April depan, masih ramai masyarakat Malaysia yang kabur tentang apa sebenarnya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Lantas, ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab cuba menangguk di air keruh dengan memomokkan keburukan cukai GST sekaligus membuat ia dipandang negatif oleh golongan yang tidak memahaminya.
BERKAITAN: Pelaksanaan GST Tidak Jejas Sasaran Cukai RM142.6 Bilion
Terbaharu ada pihak menyebarkan resit bank CIMB yang tercatat nota tentang GST sambil mendakwa, ia bermakna bermula bulan hadapan setiap transaksi pengeluaran wang melalui mesin ATM akan dikenakan caj sebanyak 6 peratus.
Individu ini juga telah ‘siap-siap’ kirakan sekali contoh di mana jika kita keluarkan wang sebanyak RM1,000 dari akaun maka cukai GST yang perlu dibayar adalah RM60! Amboi banyaknya…
Jika difikirkan secara logik pun hal ini memang tidak masuk akal namun masih ada segelintir pengguna yang percaya bulat-bulat dan berkongsikan berita tak benar ini, sekaligus mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat yang tak faham GST, macam dia juga.
Pihak CIMB bagaimanapun telah membuat satu kenyataan rasmi, menafikan perkara ini seterusnya menerangkan cara cukai GST dilaksanakan bagi transaksi melalui mesin ATM kepada pelanggan bank.
Memetik kenyataan bank tersebut, cukai GST hanya akan dikenakan bagi pelanggan yang melakukan transaksi di mesin ATM bank lain menggunakan perkhidmatan MEPS.
Jika sebelum ini, yuran MEPS dicaj sebanyak RM1 bagi setiap transaksi, namun bermula 1 April depan, ia bakal menginjak sebanyak 6 peratus kepada RM1.06.
Maksudnya, caj RM1 yang dikenakan selama ini jika pengguna CIMB mengeluarkan wang menggunakan mesin ATM lain bank, kini dinaikkan kepada RM1.06 bermula 1 April depan, itu sahaja.
Seperti sekarang, pemegang kad CIMB tidak akan dikenakan sebarang caj andai transaksi dibuat di mesin bank tersebut.
Kenyataan ini senada dengan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad yang menafikan caj dibuat berdasarkan jumlah pengeluaran.
“Perkhidmatan yang mengenakan fi atau yuran memang tertakluk kepada GST, contohnya seperti perkhidmatan MEPS.
“Tetapi, kalau pengeluaran wang di ATM bank sendiri tiada apa-apa caj GST,” ujarnya dalam satu laporan disiarkan akhbar Sinar Harian.
Justeru buat individu yang masih keliru tentang cara cukai GST dilaksanakan, ada baiknya anda mendapatkan informasi sebenar melalui saluran yang telus dan sahih.
Jangan jadi segelintir manusia yang sudahlah telan bulat-bulat informasi salah, kemudian semberono pula menyebarkannya kepada orang lain.
Jangan disebabkan perangai ‘bodoh sombong’ yang tak tahu tapi tak mahu ambil tahu.. habis semua orang kena tipu macam si penyebar info jugak.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Kenapa Kerajaan Memperkenalkan GST?