ROBIN Thicke dan Pharrell Williams diarahkan membayar lebih RM28 juta selepas didapati bersalah menciplak lagu popular Marvin Gaye yang berjudul Got To Give It Up.
Lagu nyanyian mereka, Blurred Lines dikatakan meniru melodi muzik lagu Marvin Gaye sehingga memaksa waris Marvin membawa perkara itu ke muka pengadilan di bawah hak cipta harta intelek.
Selepas melalui perbicaraan selama lapan hari, juri yang terdiri daripada lapan orang berasakan lagu popular itu sememangnya meniru lagu Marvin yang popular sekitar tahun 1977.
Anak-anak Marvin, Frankie dan Nona mula membawa perkara ini ke mahkamah pada 2013 selepas menyedari persamaaan dalam kedua-dua buah lagu itu.
Sementara itu, Pharrell melahirkan perasaan kecewanya di atas keputusan tersebut.
“Walaupun kami menghormati keputusan mahkamah, tetapi kami berasa sangat kecewa kerana perkara sebegini bakal memberikan impak yang besar dari segi kreativiti dalam bidang muzik.
“Pharrell mencipta Blurred Lines sepenuhnya dari hati dan mindanya dan lagu itu bukan diciplak daripada sesiapa atau di mana-mana pun.
“Kami sedang mengkaji keputusan itu dan melihat adakah sebarang langkah untuk kami melawannya.
“Kami akan maklumkan dalam masa terdekat mengenai perkara ini,” kata jurucakap komposer berusia 44 tahun itu.
– MYNEWSHUB.CC
Video: Robin Thicke & Pharrell Williams, Blurred Lines
Video: Marvin Gaye, Got To Give It Up