KUALA LUMPUR – Cuaca panas dan hujan sepanjang tahun yang memudahkan tempat pembiakan nyamuk serta sikap sambil lewa masyarakat terhadap kebersihan, menjadi antara punca kes demam denggi di negara ini terus meningkat.
Dua pakar perubatan yang ditemu bual Bernama baru-baru ini turut mengakui epidemik itu seolah-olah tidak pernah berkesudahan, dengan jumlah kes kerap kali meningkat atau adakalanya menurun, pada masa-masa tertentu.
Pakar Perubatan Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Mohd Shamsul Amri Ismail menyifatkan denggi sebagai penyakit urban dan ia akan sentiasa ada dalam negara kerana banyak tempat pembiakan nyamuk khususnya di bandar-bandar besar.
Beliau berkata dengan pertambahan projek pembangunan, sudah pasti tempat pembiakan nyamuk akan wujud di tapak-tapak pembinaan.
“Tetapi, kalau nak salahkan kawasabn pembinaan, setiap tahun ada pembinaan. Cuma apabila mana-mana kawasan ada bukti pembiakan, kerajaan perlu berbuat sesuatu seperti kompaun atau berhentikan pembinaan itu,” katanya.
Sebelum ini kawasan pembinaan dilaporkan menjadi faktor utama menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes terutamanya di daerah mencatatkan kes demam denggi tinggi.
Mengenai cuaca yang turut menjadi punca kes denggi, Dr Mohd Shamsul Amri berkata ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Faktor cuaca ini memang kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita duduk di kawasan hutan hujan tropika. Kita alami panas dan hujan sepanjang tahun yang membuatkan pembiakan nyamuk bertambah,” katanya.
Menurutnya kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk menangani ancaman denggi di negara ini termasuk Ops Gempur Tapak Pembinaan, ‘outdoor residual spray,’iaitu teknik semburan baharu dalam kawasan nyamuk Aedes dan cat dinding antinyamuk.
“Ia usaha yang bagus. Saya yakin kementerian (kesihatan) telah melaksanakan kajian sebelum melaksanakan sebarang pendekatan,” katanya.
Sementara itu Pakar Perunding Perubatan Am dan Penyakit Berjangkit Hospital Kuala Lumpur, Dr Leong Chee Loon berkata sebahagian masyarakat tidak prihatin terhadap kebersihan di kawasan sekeliling.
“Mereka tidak mengambil berat mengenai kebersihan. Walaupun semburan asap dibuat, tetapi selepas sehari ia akan bertakung semula. Mungkin sebab ini, pembiakan denggi berterusan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, sikap tidak mengendahkan kebersihan harus diubah supaya ancaman denggi di negara ini berkurangan.
“Kita perlu bersama-sama menjaga persekitaran, menghapuskan tempat takungan air dan jangan simpan sampah yang menakung air. Selain itu, pasang kelambu semasa tidur,” katanya.
Dr Leong berkata papan tanda yang memaklumkan sesuatu kawasan itu berlaku kematian akibat denggi akan diletakkan setiap kali berlaku kematian untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mengambil serius masalah ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebanyak 74 kematian akibat demam denggi direkodkan di seluruh negara sepanjang Januari hingga 7 Mac lepas berbanding hanya 36 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Rekod itu menunjukkan peningkatan 105.6 peratus. – BERNAMA