MARANG – Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini mengucapkan tahniah di atas pelantikan Datuk Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am PAS yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pelantikan Haron oleh Majlis Syura Ulama parti itu adalah bertepatan pada masanya kerana ketinggian ilmunya, ketokohannya sebagai pemimpin bukan sahaja di peringkat pimpinan PAS, akar umbi malah masyarakat Islam dan rakyat Malaysia umumnya.
“Pelantikan ini juga akan terus memperkasakan parti hasil kerjasama baik golongan ulama dan profesional dalam kalangan anggota PAS,” katanya.
Pelantikan Haron diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS pada satu mesyuarat di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, 8 Mac lalu.
Jawatan Mursyidul Am PAS kosong berikutan penyandangnya, Nik Abdul Aziz, yang juga bekas menteri besar Kelantan meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.
– BERNAMA