TERCETUS khabar menyatakan, penyanyi Kaka Azraff telah dipinggirkan rakan artis gara-gara menjadi punca kepada keretakan hubungan Tasha Shilla dengan kekasihnya, Han Cheng Wong.
Kononnya, itulah penyebab mengapa Kaka tidak menghadiri majlis berinai pelakon Sharifah Sakinah baru-baru ini.
Gosip itu tersebar kerana penyanyi yang baru melancarkan single terbaru Bukan Hal Aku itu, sebelum ini turut dibawa bercuti ke Bali untuk acara Bridal Shower Sharifah Sakinah bersama rakan artis lain seperti Elfira Loy, Nabila Huda, Jihan Muse, Marsha, Siti Saleha dan Tasha Syilla juga.
[SINGLE BUKAN HAL AKU, TAMPIL DIRI SEBENAR KAKA AZRAFF]
Bagaimanapun Kaka menjelaskan, ketidakhadirannya di majlis itu bukan disebabkan dipinggir rakan artis tetapi kerana jadual kerja yang sangat padat serta sedang menjalani penggambaran drama bersiri.
“Sebenarnya saya tak dapat hadir kerana sibuk jalani penggambaran drama bersiri Dunia Generasi Baru. Dan saya tak sempat untuk maklumkan kepada Sakinah,” kata anak saudara kepada penyanyi Ella itu.
“Lagipun mereka bukanlah rakan baik Kaka seperti yang disangkakan.
“Kehadiran bersama rakan-rakan baik Sakinah di Bali hanyalah untuk memenuhi undangan pihak penaja sahaja.
“Rakan baik Kaka dalam industri hanya Juliana Evan,” perjelas Kaka lagi ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbarunya di ibu Pejabat Warner Music, semalam.
Ditanya mengenai isu menjadi orang ketiga dalam hubungan cinta Tasha dan Han, Kaka menyatakan dia amat terkejut apabila namanya ‘dipetik’ kerana dia sama sekali tidak pernah berhubung dengan teman lelaki Tasha itu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Infiniti Cinta itu juga menjelaskan dia tidak mahu tahu siapa yang mengaitkan dirinya dengan kisah percintaan Tasha dan Han kerana dia lebih gemar berbicara mengenai kariernya.
– MYNEWSHUB.CC