KUALA LUMPUR – Gara-gara mencederakan bekas tunang sehingga luka di kening, seorang jurujual dijatuhi hukuman denda RM300 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nurul’ain Abdul Rahim menjatuhi hukuman itu terhadap Mohammad Samris Kamal Mustafha, 21, selepas dia mengaku bersalah.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja mencederakan Noor Syafinas Abdul Rahim, 20, seorang pekerja restoran makanan segera McDonald’s dengan menggunakan topi keledar di Pasar Raya Aeon Big, Seksyen 5, Wangsa Maju, di sini pada pukul 9.40 malam, 9 Januari lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah mencederakan mangsa di bahagian muka ketika mangsa sedang berjalan-jalan bersama seorang teman lelaki di pasar raya itu, dan akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan hingga menerima jahitan di kening sebelah kiri.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman berbentuk denda bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
“Walaupun mangsa adalah bekas tunang tertuduh, namun tertuduh tidak seharusnya melakukan perkara itu sehingga mendatangkan kecederaan, apatah lagi mangsa adalah perempuan,” katanya. – BERNAMA