KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah membuat penambahbaikan dalam hal pengurusan perolehannya berikutan kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Felda mengambil langkah proaktif untuk memperbetulkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalamannya bagi mengelakkan perkara yang sama berulang dalam Laporan Ketua Audit Negara seterusnya.
“Lanjutan daripada itu Felda telah membuat banyak penambahbaikan dengan menambah baik tatacara SOP dalaman mereka untuk mengatasi masalah ini,” katanya mengulas rumusan siasatan berhubung pengurusan perolehan Felda susulan Laporan Ketua Audit Negara 2013, yang diedarkan kepada media selepas mesyuarat PAC di bangunan Parlimen pada Rabu.
Nur Jazlan berkata antara kelemahan yang didapati dalam pengurusan perolehan Felda berdasarkan laporan Audit itu adalah Felda melaksanakan perolehan tanpa kelulusan jawatankuasa yang sepatutnya dan dibuat oleh pegawai yang tidak mempunyai kuasa.
Selain itu, katanya beberapa perolehan Felda yang telah dipecah kecil adalah tidak memenuhi peraturan perolehan yang sedang berkuat kuasa dan ini boleh menyebabkan salah guna kuasa.
Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan berkata beliau menyokong cadangan anggota Parlimen
Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang meminta kerajaan menjelaskan secara telus mengenai hutang negara pada sidang Dewan Rakyat.
“Untuk saya ia satu perkara yang baik untuk rakyat tahu,” katanya.
Mengenai cadangan pengisytiharan harta dan liabiliti oleh anggota Kabinet dan Parlimen, Nur Jazlan berkata kabinet perlu ambil perhatian terhadap usul dibangkitkan Tengku Razaleigh semasa sesi perbahasan pada sidang Dewan Rakyat semalam.
“Tetapi dengan cara ini belum tentu ia dapat menjamin kes rasuah tidak terus berlaku dalam negara ini,” katanya. – BERNAMA