IPOH – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menerbitkan sebuah dokumentari bertajuk ‘My First Blowpipe’ yang memaparkan keunikan suku kaum Orang Asli Semai di Perak.
Penerbit Eksekutif dan Skrip dokumentari itu, Rashid Esa berkata dokumentari yang akan dihasilkan dengan kerjasama Mah Meri Cultural Village dan Platinum Unik Sdn Bhd itu, berdurasi 45 minit dengan menonjolkan tarikan alam semulajadi yang masih terpelihara dan jarang dapat dilihat umum.
“Proses penggambaran akan mengambil masa selama 15 hari yang bermula minggu hadapan, melibatkan penduduk sekitar dan kru seramai 30 orang. Ulu Geroh di Gopeng menjadi lokasi pilihan kerana kampung ini menjadi sebagai destinasi pelancongan di Perak.
“Suku kaum Semai adalah penghuni kawasan tersebut dan antara tarikan pelancong adalah bunga pakme atau refflesia di Sungai Kampar, lukisan di Gua Tambun dan Gua Tempurung.
“Kesemua ini akan menjadi sebahagian daripada bahan dokumentari,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran dokumentari itu oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, semalam.
Beliau berkata penggambaran dokumentari tersebut yang menggunakan teknik imej penjanaan komputer (CGI), menelan kos lebih RM200,000.
Rashid berkata dokumentari untuk tayangan antarabangsa itu akan mempromosi Lembah Tempurung, sekali gus menjadi satu lagi produk pelancongan utama negeri Perak.
“Dokumentari ini dapat memberi maklumat mengenai satu aspek budaya sesuatu kaum Orang Asli, memberi kesedaran kepada penonton akan sensitiviti Orang Asli, memberi penerangan mengenai hubungan kaum Orang Asli dengan alam semulajadi.
“Dokumentari ini juga akan membantu budaya storytelling atau penceritaan yang mengisahkan peristiwa lampau Orang Asli bertujuan untuk memberi peringatan kepada kaum itu,” katanya.
Sementara itu, Zambry berkata beliau berharap dokumentari itu akan memberi impak besar seperti dokumentari yang pernah dihasilkan sebelum ini tentang apa yang terdapat di Perak.
“Dokumentari ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk mempromosi keunikan dan keindahan Perak dengan menggunakan cara yang berbeza,” katanya. – BERNAMA