KOTA BAHARU – Gerakan hari ini memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993, yang pindaannya dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu.
Saman pemula itu difailkan oleh tiga anggota parti berkenaan, iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie melalui Tetuan N. S. Leong dan S. T. Low pada pukul 10 pagi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dan menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai defendan.
Dalam saman pemula tersebut, plaintif memohon pengisytiharan mengikut Artikel 76 dan 76 (A) Perlembagaan Persekutuan bagi perisytiharan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 adalah batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, suatu deklarasi bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah, bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Antara alasan palintif adalah Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 adalah menyalahi undang-undang kerana ia memperuntukkan berkenaan dengan perkara-perkara bahawa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang.
Plaintif juga beralasan enakmen berkenaan adalah ultra vires (melampaui batasan undang-undang) dan tidak sah dan tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, dan sesetengah peruntukan dalam enakmen tersebut juga mewujudkan kesalahan berkenaan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong berkata permohonan itu merupakan langkah awal bagi menghalang pembentangan rang undang-undang persendirian itu di Parlimen untuk meminda Perkara 76 (A) (1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS melaksanakan hudud.
“Kerajaan Negeri Kelantan memulakan langkah pertama dengan membentangkan pindaan rang undang-undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 hari ini, justeru kami juga mengambil langkah pertama untuk membawa perkara ini ke mahkamah.
“Kami akan menyerahkan saman pemula ini kepada pihak defendan di Pejabat Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim hari ini,” katanya.
Kerajaan Negeri Kelantan hari ini membentangkan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) dengan empat pindaan utama pada persidangan DUN.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata empat pindaan termasuk rang undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukallaf, iaitu yang baligh dan berakal, yang melakukan kesalahan di Kelantan.
Sebelum ini, kanun itu turut memperuntukan pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas meraka. – BERNAMA