KUALA BERANG – Pelumba Astana Pro Team, Andrea Guardini mengulangi aksi hebat untuk memenangi tiga peringkat selepas menawan peringkat keempat perlumbaan Jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL), sejauh 165.4km dari Kota Bharu ke Kuala Berang, hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan pelumba Itali itu melebarkan rekod kemenangan peringkat dalam siri LTdL kepada 17, selepas menang lima peringkat pada edisi 2011, enam (2012) dan tiga peringkat pada edisi tahun lepas.
Guardini, yang menjuarai dua peringkat pertama, menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan masa 3 jam 43 minit dan 14 minit.
Pelumba Itali, Jakub Mareczko daripada pasukan Southeast Pro Cycling Team menduduki tempat kedua diikuti dan juara peringkat ketiga semalam, Caleb Ewan daripada pasukan Orica GreenEdge.
Kesemua pelumba berkenaan mencatatkan masa sama selepas melintasi garisan penamat secara berkelompok.
“Kesemua rakan sepasukan memang berusaha dengan baik sekali untuk membuka ruang kepada saya untuk melakukan pecutan ke garisan penamat,” katanya.
“Kemenangan hari ini merupakan permulaan sempurna bagi saya pada tahun ini dan diharap ia akan kekal dalam beberapa peringkat seterusnya,” kara Guardini.
Walaupun menghuni tangga ketiga hari ini, Ewan masih mengekalkan jersi kuning, selaku pendahulu keseluruhan.
Bagaimanapun, pelumba Australia itu tidak mahu meramalkan peluang untuk mengalahkan Guardini pada perlumbaan peringkat kelima esok.
“Ia sukar tetapi sekiranya kayuhan saya bertambah baik dan semua strategi berjalan lancar, saya fikir saya ada peluang (untuk mengalahkan Guardini),’ katanya.
Dalam pada itu, pelumba Amerika Syarikat, Kiel Reijnen daripada pasukan UnitedHealthCare, berkata beliau perlu meningkatkan momentum sekiranya mahu mengekalkan jersi merah, selaku pendahulu gelaran Raja Bukit, sejak peringkat pertama di Langkawi.
“Masih belum pasti, sama ada dapat menyarung jersi merah pada LTdL kali ini kerana saingan belum berakhir…harap dapat memberi tumpuan sehingga ke akhir saingan,” kata pelumba muda berusia 20 tahun itu.
Peringkat kelima esok akan menyaksikan kesemua 125 pelumba akan bertarung pada laluan paling jauh pada edisi tahun ini iaitu jarak 200km dari Kuala Terengganu ke Kuantan.
Laluan itu melibatkan tiga zon pecutan di Dungun, Kertih dan Chukai serta zon pendakian di Kijal. – BERNAMA