ALHAMDULILLAH, nampaknya semakin mencurah-curah rezeki Hanez Suraya dan suami, Romie setelah mereka selamat diikat secara sah.
BACA: Hanez Impikan Anak Perempuan Untuk Sinari Perkahwinan
Terbaharu, pasangan ini dilaporkan bakal mengerjakan umrah bersama-sama bulan depan.
Jelas Hanez, rancangan ke Tanah Suci itu sebenarnya sudah lama difikirkan oleh suaminya dan mereka ingin menunaikan impian itu setelah selamat bergelar suami isteri.
“Asalnya nak ke Makkah masa bertunang lagi. Tapi mama saya cakap lebih baik pergi selepas bernikah. Saya pun nak ke sana kena ada mahram,” katanya.
Hanez turut mendedahkan kini mereka sedang menunggu urusan visa ke sana disiapkan.
Ditanya mengenai artis yang sudah berhijrah baru-baru ini seperti Rozita Che Wan, Hanez akui Romie pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dia bertudung.
“Suami saya sendiri mempunyai keinginan untuk melihat saya bertudung. Tapi saya cakap kepadanya doakan yang baik-baik saja.
“Soal bertudung ini bukan atas permintaan sesiapa tapi atas kehendak hati. Mana tahu doa suami saya dimakbulkan, insya-Allah. Sebagai manusia biasa, saya juga sedang berusaha memperbaiki kelemahan diri,” katanya.
Pasangan ini dinikahkan pada 14 Mac lalu dan bakal diraikan dalam majlis menyambut menantu Sabtu ini di kediaman keluarga Romie di Andalas, Klang diikuti majlis resepsi keesokan harinya (Ahad) di Sime Darby Convention Centre.
– MYNEWSHUB.CC