KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak hari ini, meneruskan prosiding saman ke atas Harakah berhubung tulisan mengaitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan anak tiri beliau, Riza Aziz.
Tindakan diambil berikutan surat tuntutan maaf yang dikemukakan kepada tabloid lidah rasmi PAS pada 26 Februari lalu, tidak dipenuhi.
Surat tuntutan sebelum ini meminta Harakah menarik kembali artikel fitnah yang dikeluarkannya, berhenti daripada mengulangi kenyataan fitnah dalam artikel itu, menyiarkan permohonan maaf mengikut syarat ditetapkan pihak Najib dan berjanji tidak mengulangi kenyataan berkaitan.
Bagaimanapun, Harakah dan dua individu yang dinamakan dalam surat tuntutan itu iaitu Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakub dan Ketua Pengarangnya Taufik Yahya tidak memberikan respon sebagaimana diminta.
Harakah pada 12 Februari lalu menyiarkan artikel tulisan Rosli bertajuk ‘Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz?’ yang secara jelas mengaitkan projek filem anak tiri Najib dengan syarikat pelaburan nasional negara.
Susulan itu Najib mengambil keputusan membawa perkara ini ke muka pengadilan atas kapasiti peribadi, berikutan fitnah yang dilemparkan telah mencemar nama baik keluarga beliau.
– MYNEWSHUB.CC
Video – Petikan menarik The Wolf of Wall Street, filem yang diterbitkan Riza Aziz.