MUAR – MARDI menggalakkan orang ramai menanam sayur dan buah-buahan menggunakan kaedah fertigasi yang lebih mudah dan cepat mengeluarkan hasil.
Pengarah MARDI Johor, Saniah Kormin, berkata antara yang mudah ditanam menggunakan kaedah itu adalah cili dan melon yang mampu mengeluarkan hasil lumayan.
“Sudah ada yang berjaya menjadi usahawan pertanian dengan mengamalkan penanaman menggunakan kaedah ini dan MARDI sedia membantu mana-mana pihak untuk penggunaannya.
“MARDI turut menggalakkan tanaman lain menggunakan kaedah itu termasuk terung, tomato dan halia namun cili dan melon itu yang mendapat sambutan baik,” katanya selepas Merasmikan Program Cili Fertigasi di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pagoh di sini, hari ini.
Hadir sama anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
Saniah berkata MARDI pada bila-bila masa bersedia membantu mana-mana pihak yang mahu menjadikan cili sebagai tanaman utama seperti di Pasir Puteh, Kelantan yang kini adalah pengeluar cili utama bagi penghasilan sos.
“Yang penting adalah kawasan yang berskala besar dan ada pihak yang bersedia untuk menguruskan penanam ini,” katanya.
MARDI turut memperkenalkan benih cili tempatan bermutu tinggi selain yang diimport. – BERNAMA