KUALA LUMPUR – Wakil kerajaan PAS kelantan gagal memperolehi persetujuan segera Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ke atas rancangan kerajaan negeri itu untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.
Ia berikutan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mahu beberapa pendapat mereka ke atas Draf Rang Undang-undang Enakmen Kanun Jenayah Shariah 1993 yang dibentangkan oleh kerajaan PAS Kelantan kepada mereka hari ini dibincangkan di peringkat kerajaan negeri itu terlebih dahulu.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan media memberitahu, Draf Rang Undang-undang Enakmen Kanun Jenayah Shariah 1993 itu dibentangkan oleh wakil kerajaan PAS Kelantan dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.
“Wakil-wakil kerajaan Kelantan bersetuju membawa balik beberapa dapatan dari perbincangan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada hari ini untuk dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat kerajaan Kelantan,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Setiausaha DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat bagaimanapun memaklumkan mesyuarat berkenaan mengesahkan PKR dan DAP akan memberi kerjasama dan sokongan kepada PAS dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chempaka. – MYNEWSHUB.cc