KUALA NERUS – Jalan sepanjang empat kilometer akan dibina dari Long Beach di Pulau Redang bagi menghubungkan kampung-kampung di pulau itu, kata Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik.
Beliau berkata, ketika ini penduduk pulau itu bagaikan terasing berikutan kehadiran beribu pelancong setiap hari hanya tertumpu di Long Beach manakala perkampungan terletak bersebelahan Berjaya Resort hanya dihubungkan dengan bot.
“Walaupun pelancong berpusu-pusu ke pulau yang terletak di dalam daerah Kuala Nerus itu, tetapi kami lihat manafaatnya tidak sampai kepada keseluruhan masyarakat.
“Untuk membangunkan pulau yang menjadi ikon pelancongan ini, kami akan membina sebatang jalan dari Long Beach ke perkampungan penduduk dalam masa terdekat,” katanya pada majlis taklimat pertandingan kebersihan rumah di Kampung Gong Lingai di sini.
Katanya, dengan pembinaan jalan itu akan memudahkan pelancong untuk pergi melihat dan membeli produk yang dihasilkan penduduk, sekali gus dapat membantu penduduk menambah pendapatan.
Azmi berkata, terdapat kira-kira 2,000 penduduk di pulau peranginan itu yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, pemandu pelancong dan bekerja di rumah-rumah tumpangan atau resort di samping menghasilkan pelbagai produk kraf. – BERNAMA