MELAKA – Isu ketiadaan ketua pembangkang di Dun Melaka dan Selangor tidak wajar disamakan kerana masing-masing mempunyai kisah tersendiri di sebaliknya.
Media sebelum ini melaporkan Adun Duyong, Goh Leong San daripada DAP meletak jawatan sebagai ketua pembangkang Dun Melaka pada 8 Oktober 2013 disebabkan pertelagahan dalaman dengan pimpinan DAP pusat dan beberapa Adun DAP dari Melaka sendiri.
Manakala kerusi ketua pembangkang Dun Selangor kosong apabila penyandangnya, Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsuddin Lias melepaskan jawatan itu kerana menolak pelantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor.
Pengerusi Kelab Penyokong BN Melaka Datuk Ghazale Muhamad berkata daripada apa yang dilaporkan media sebelum ini telah jelas bahawa kedua-dua isu itu adalah berbeza dan jika ada pihak yang cuba memainkannya hanyalah bermain politik yang ‘cetek akal fikiran’.
“Saya tegaskan di Melaka ketua pembangkang meletakkan jawatan kerana mereka berbalah sesama sendiri sedangkan di Selangor, BN melepaskan jawatan kerana soal prinsip bagi memastikan pentadbiran yang telus Kerajaan Negeri Selangor,” kata Ghazale kepada Bernama di sini.
Adalah satu pandangan yang cetek jika ada yang mengatakan tidak mengapa bagi DAP tidak melantik ketua pembangkang di Dun Melaka kerana BN pun tidak melantik ketua pembangkang di Dun Selangor kerana kedua isu ini amat berlainan sama sekali, katanya.
Pelantikan ketua pembangkang Dun Selangor sebagai Pengerusi PAC dibuat selepas sidang Dun Selangor pada 4 Disember tahun lepas meminda peraturan tetap berkaitan yang mewajibkan ketua pembangkang dilantik bagi jawatan berkenaan.
Mohd Shamsuddin ketika melepaskan jawatan ketua pembangkang Dun Selangor pada Disember tahun lepas dilaporkan berkata, jawatan itu yang mewajibkan dirinya menjadi Pengerusi PAC tidak lebih menjadikannya sebagai boneka Kerajaan Selangor.
Ghazale yang juga Adun Rim berkata sebuah dewan perundangan seperti Dun memerlukan ketua pembangkang bagi melaksanakan fungsinya dengan betul dan sebagai suatu mekanisme semak dan imbang bagi memikul tanggungjawab yang telah diberikan rakyat.
“Tidak wajar jika pihak pembangkang menyandarkan kegagalan mereka melantik ketua pembangkang di Dun Melaka bagi memikul tanggungjawab rakyat untuk tempoh lebih setahun, kepada BN yang tidak melantik ketua pembangkang di Dun Selangor kerana mahu kerajaan Selangor bersikap telus untuk rakyat,” katanya.
BN Selangor telah menamakan Adun Batang Kali Mat Nadzari Ahmad Dahlan sebagai penyelaras bagi memikul tanggungjawab rakyat dalam Dun Selangor, tetapi Speaker Dun Selangor Hannah Yeoh berkata jawatan pengelaras itu tidak diiktiraf.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim daripada BN pula melihat pelantikan dua ketua pembangkang itu adalah dua konteks yang berbeza dan sepatutnya diselesaikan mengikut acuan negeri-masing-masing.
“Di Selangor kita berpegang kepada prinsip yang mana badan perhubungan (BN) negeri sendiri telah nyatakan kita seakan-akan diperkecilkan peranan kita untuk berkhidmat kepada rakyat khususnya daripada keanggotaan beberapa jawatankuasa.
Beliau berkata terdapat hikmah BN melepaskan jawatan ketua pembangkang di Dun Selangor kerana ini memperlihatkan sendiri kepada rakyat bagaimana Kerajaan Negeri Selangor itu memberikan tawaran berunsur politik dan bukan untuk kepentingan rakyat. – BERNAMA