JENAZAH pelawak terkenal, Allahyarham Harun Salim Bachik selamat dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Taman Ar Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Batu Caves, Selangor.
BACA: Pelawak Harun Salim Bachik Meninggal Dunia
Jenazah Harun Salim Bachik sebelum itu dibawa ke Surau Al-Mutmainnah, Taman Pandan Perdana untuk dimandikan dan disembahyangkan.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika hendak ke tandas di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Perak, semalam.
Arwah ketika itu bersama keluarganya dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
Beberapa rakan artis turut kelihatan memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden Seniman ini, antaranya adalah Awie, Zed Zaidi, Afdlin Shauki, Abon, Imuda, Noorkhiriah, Azza Elite dan Den Wahab.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah…
– MYNEWSHUB.CC