LONDON: Juan Mata meledak dua gol membantu Manchester United menewaskan Liverpool 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam ini yang menyaksikan Steven Gerrard dilayangkan kad merah selepas hanya seminit berada atas padang.
Penyudah kemas Mata meletakkan United di hadapan pada minit ke-14 di Anfield sebelum pemain gantian, Gerrard yang masuk di babak kedua dibuang padang kerana memijak Ander Herrera pada minit ke-46.
Satu lagi sepakan memukau kaki kiri daripada Mata menjadikan kedudukan 2-0 sebelum Daniel Sturridge merapatkan jurang dengan gol pada minit ke-69.
Wayne Rooney terlepas peluang menambah gol ketiga selepas penjaga gol, Simon Mignolet menyelamatkan sepakan penalti pada masa kecederaan.
United sudah mengutip 59 mata daripada 30 perlawanan – lima mata atas Liverpool di tangga kelima.
Pendahulu, Chelsea akan berusaha mendapatkan kembali kelebihan enam mata ke atas Manchester City jika dapat mengatasi Hull City lewat Ahad manakala Queens Park Rangers bertemu Everton di laman sendiri. – AFP