KUALA TERENGGANU – Seorang kakitangan kontrak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu diberkas bersama dadah dipercayai heroin bernilai kira-kira RM30,000 dalam serbuan di Taman Desa Tanjung Damai, di sini Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar berkata suspek yang berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.20 malam selepas dua jam pihak polis melakukan intipan terhadap kediaman suspek.
Katanya hasil pemeriksaan pada kediaman itu, polis menjumpai serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin seberat 85.55 gram yang disorokkan di dalam salah sebuah bilik di rumah itu.
“Semasa tangkapan dilakukan, suspek sedang mengunci pintu rumahnya untuk keluar dan berlaku sedikit pergelutan ketika penahanan dibuat. Hasil pemeriksaan ke dalam rumah kita dapati ada sebahagian dadah tersebut masih belum dibungkus.
Kita dapati suspek yang masih bujang ini bertindak sebagai stokis dan menyimpan dadah tersebut di rumah tanpa pengetahuan ahli keluarganya, untuk tujuan edaran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya pihak polis juga turut merampas wang tunai bercampur-campur bernilai RM26,500 dipercayai hasil jualan dadah dan turut menyita sebuah kereta Proton Wira.
Jelasnya suspek yang berasal dari Kuala Terengganu ini disyaki memperoleh bekalan dadah itu dari negara jiran sebelum diedarkan ke sekitar Kuala Terengganu dan Marang.
Idris berkata pihaknya juga mendapati ini merupakan sebuah kumpulan baru yang mula aktif pada tahun lepas dan pihak polis masih mengenal pasti dalang dan ahli kumpulan yang lain.
Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek berkenaan didapati negatif dadah dan dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Lelaki berkenaan ditahan reman selama enam hari bermula semalam dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA