KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan komited kepada agenda membina rumah mampu milik untuk rakyat.
Katanya, melalui program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), impian lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri akan menjadi kenyataan.
“Alhamdulillah. Kerajaan komited kepada agenda membina rumah-rumah mampu milik dan Insya-Allah, melalui PR1MA Homes impian lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri akan jadi kenyataan,” katanya menerusi catatan terbaru di akaun Facebooknya di sini hari ini.
Dalam catatannya itu, Najib turut berkongsi video berdurasi 3.15 minit dari akaun Facebook 1Malaysia yang memaparkan kisah keluarga Norazam Azman yang merupakan antara pembeli terawal rumah PR1MA.
Ia menceritakan bagaimana golongan kurang berkemampuan seperti Norazam, 33, berkeluarga dan mempunyai dua anak terpaksa duduk menumpang di rumah mentua serta menyewa di rumah kos rendah sebelum akhirnya dapat memiliki kediaman sendiri dengan adanya program PR1MA itu.
Sabtu lalu, Perdana Menteri menyerahkan kunci kepada sebahagian daripada 560 pemilik rumah PR1MA di tapak pertama projek itu di Presint 11, Putrajaya.
PR1MA ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan isi rumah puratabulanan antara RM2,500 hingga RM10,000 untuk memiliki kediaman berkualiti tinggi di lokasi-lokasi strategik dengan harga antara RM100,000 hingga RM400,000. – BERNAMA