Kecewa..itulah luahan hati penduduk Seksyen 5 Tambahan di Bandar Baru Bangi, Selangor, selepas garaj serbaguna yang dibina oleh komuniti itu dirobohkan tanpa ada toleransi.
Tindakan Majlis Perbandaran Kajang yang tidak mengeluarkan apa-apa notis pemberitahuan serta tidak ada tolak-ansur itu telah membuatkan masyarakat di situ terkelu dan sedih.
Menurut wakil penduduk yang ditemui semalam, kekesalan yang dizahirkan adalah kerana mengapa pihak MPKJ sanggup bertindak sedemikian sedangkan ‘projek garaj’ yang dibina itu adalah untuk kemudahan orang setempat.
Disamping itu, pembinaan garaj yang memakan kos sebanyak 30 ribu itu lansung tidak menganggu pandangan mahupun mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
Dengan hanya alasan menerima ‘complaint‘ dari individu tertentu serta menyatakan tanah tersebut bukan hak milik penduduk, pihak MPKJ terpaksa menjalankan tugas dengan robohkan garaj berkenaan pada rabu lalu.
Isunya mengapa kemudahan yang memberi manfaat itu sering dipertikaikan sedangkan ‘tembok’ yang menghalang laluan orang ramai terutama ibubapa untuk menghantar anak ke sekolah tidak diendahkan sama sekali walaupun aduan sudah dibuat berkali-kali.
Tembok yang menghalang laluan pintas dan mudah untuk ke sekolah terutamanya itu dibina oleh komuniti kawasan berdekatan yang dipercayai untuk menjaga ketenteraman serta mengelakkan kesesakan di kawasan itu.
Menurut wakil penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Najib, apa yang lebih mengecewakan, penduduk memohon tempoh untuk membuka sendiri garaj berkenaan supaya dapat dipasangkan di masjid berdekatan namun tidak dipedulikan pihak MPKJ.
Sekurang-kurangnya jika beri tempoh masa kepada penduduk, garaj tersebut mungkin boleh digunakan semula tetapi telah musnah dan rosak akibat kerja-kerja meroboh yang dilakukan pihak MPKJ.
Di atas usaha dan kerjasama komuniti itu, garaj serbaguna yang digunakan untuk majlis keramaian serta program ziarah dan selawat itu telah dibina pada tahun 2010 dan memberi kemudahan kepada semua masyarakat yang tinggal di situ.
Namun begitu, semuanya sia-sia kerana mereka tidak lagi punya tempat atau kemudahan untuk melakukan aktiviti-aktiviti sebegitu. -MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=Ndtks-zcbUo&feature=youtu.be