SEPANG – Penyambungan kontrak penganjuran perlumbaan Formula One di Litar Sepang dijangka akan diketahui esok, kata Pengerusi Sepang International Circuit (SIC) Tan Sri Mokhzani Tun Dr Mahathir.
Mokhzani berkata pihaknya masih mahu mendapatkan penjelasan daripada pihak Formula One Internatinal Management (FOM) berhubung satu lagi isu yang memerlukan persefahaman bersama.
“Kontrak masih dalam perbincangan, masih ada satu lagi isu yang perlu dibincang. Kita akan umumkan esok atau paling lewat seminggu lagi.
“Isu tak besar sangat, mereka (FOM) meletakkan satu ‘line’ (syarat) dalam kontrak itu, jadi kita mahu pengisytiharan dan pengesahan tanggungjawab siapa? antara kita (SIC) atau mereka (FOM),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat media SIC di Litar Sepang hari ini.
Mokhzani berkata pihaknya, SIC mencadangkan kontrak perlumbaan berprestij itu dilanjutkan selama tiga tahun.
Malaysia mula menganjurkan perlumbaan Formula 1 sejak 1999.
“Kita punya cadangkan lanjutan kontrak penganjuran F1 adalah tiga tahun. Perjanjian itu bagi saya adalah ‘win-win situation solutions’.
Dalam perkembangan lain, Mokhzani berkata penganjuran kali ini lebih menarik dengan adanya karnival yang bersesuaian untuk keluarga sekali gus meningkatkan jumlah penjualan tiket Formula 1 bagi musim ini.
“Sambutan baik, dari segi penjualan tiket kita hampir sama dengan tahun lepas, tahun ini apabila kita umumkan persembahan Kpop, ‘Girl Generation’ akan jualan tiket melonjak.
“Semalam 15,000 penonton datang untuk menyaksikan sesi latihan kalau dibandingkan tahun lepas 6,000 sahaja bagi hari Jumaat. Kali ini kita menyediakan karnival yang bersesuaian untuk keluarga seperti ‘ferris wheel’, ‘haunted house’ dan ‘bumper cars’,” katanya. – BERNAMA