HULU TERENGGANU – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lepas ditemui lemas di Sungai Batu Belah berhampiran pusat Pemulihan Jenagor di sini, hari ini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Mohd Hasbullah Halipah berkata mayat Wan Aziman Wan Ali, 48, dari Kampung Simpang Tok Ku, Kuala Terengganu ditemui pada 11.10 pagi tadi oleh orang awam.
“Mayat mangsa dijumpai kira-kira 300 meter dari lokasi dia terjatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
Isnin lepas, Wan Aziman yang juga penghuni Madrasah Khairul Insan dekat sini, dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya terbalik dan hilang dihanyutkan arus deras.
Dalam kejadian 9.45 pagi itu, mangsa sedang memandu bot berkenaan yang membawa muatan pasir menuju ke perkampungan madrasah berkenaan. – BERNAMA