LANGKAWI – Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA ’15) membuka peluang kepada negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk merancang hala tuju pembangunan dan memperkasakan pertahanan negara, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah LIMA merupakan pentas yang tepat untuk ATM menilai pengupayaan aset pertahanannya seperti teknologi, kemampuan, keupayaan dan aspek lain yang berkaitan.
Dari sudut ekonomi, LIMA membantu ATM mendapat ‘tawaran terbaik pada harga terbaik’, titah baginda selepas melawat tapak pameran dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta kapal-kapal perang negara asing yang menyertai LIMA’15 di sini, hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin ialah Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkat Brigadier Jeneral, berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Arau, Perlis.
Berangkat sama melawat pameran ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan baginda berdua di Awana Porto Malai, tempat pameran maritim disambut oleh Asisten Ketua Staf J5 Markas Angkatan Bersama di Kuala Lumpur, Laksamana Madya Datuk Abdul Ghani Othman yang mewakili TLDM.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin, LIMA 2015 mampu memainkan peranan dalam mempertingkat keupayaan ATM khususnya Tentera Darat dalam pelbagai aspek seperti kesedaran medan tempur.
“Perkara ini penting kerana ia memberi maklumat dan perisikan terkini serta tepat tentang keadaan sebenar medan tempur sebelum melaksanakan operasi.
“Aset dan peralatan moden yang canggih membantu meningkatkan keberkesanan operasi serta berkeupayaan mengesan pergerakan musuh, penugasan ISR & T (Risikan, Tinjauan, Risik Balas dan Sasaran),” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah peralatan yang dipacu teknologi tinggi menjadi keperluan dalam peperangan siber dan mesti dimiliki ATM untuk mengukuhkan pertahanan negara dalam era pemodenan pasukan tentera yang canggih dan dinamik.
Pemilikan aset-aset moden dan canggih meletakkan ATM dalam mod bersedia dan berkeupayaan melaksanakan penugasan dalam pelbagai dimensi seperti operasi bantuan kemanusiaan dan bencana alam, titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin turut meninjau kapal korvet India, INS Kamorta yang berlabuh di pelabuhan Awana Porto Malai.
Keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda disambut oleh Timbalan Panglima Angkatan Laut India, Laksamana Sunil Lanba.
Baginda berdua turut melawat pameran aeroangkasa di Dewan Mahsuri dan menyaksikan pertunjukan kapal terbang oleh negara-negara yang menyertai LIMA 2015 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. – BERNAMA