LANGKAWI – Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 secara tidak langsung mempamerkan kekuatan sesebuah negara dalam aspek kesiapsiagaan pertahanan masing-masing, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Dalam hubungan ini LIMA edisi ke-13 tahun ini menawarkan banyak peluang kerjasama termasuk dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara kerajaan atau syarikat yang terbabit dengan industri pertahanan, titah baginda.
“Kita boleh belajar cara pengurusan dan penyelarasan khususnya aset-aset berteknologi tinggi serta membandingkan kekuatan aset yang dipamerkan dari sudut pertahanan termasuk antara negara.
“Aspek ini amat mustahak bagi Angkatan Tentera Malaysia mengenali dengan jelas kelebihan sesuatu aset tersebut,” titah baginda selepas melawat gerai pempamer LIMA 2015 di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda yang juga Komander (bertauliah) Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Arau bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut Pengarah Cawangan Operasi Udara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Brig-Jen Rosni Aziz.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah pameran LIMA 2015 menunjukkan aset tentera terkini yang boleh memberi pilihan terbaik untuk keperluan masing-masing.
Lebih 500 syarikat dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam pameran itu yang dijangka dihadiri kira-kira 40,000 pelawat perniagaan. – BERNAMA