SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen ‘Tambah Caruman Zakat Melalui Potongan Gaji’, bagi memudahkan 175,020 pencarum zakat sedia ada menyemak semula potongan zakat mereka.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata menerusi kempen itu pencarum di negeri ini boleh menambah caruman zakat bertepatan dengan jumlah sebenar yang wajib mereka keluarkan.
“Kempen ini akan dilaksanakan bermula Ahad ini sehingga 15 Jun depan. Dengan adanya peningkatan kutipan zakat ini, akan memberi peluang kepada LZS untuk berbakti kepada lebih ramai asnaf menerusi pengagihan zakat yang dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen itu di sini, hari ini.
Beliau berkata pencarum yang ingin menambah caruman zakat bulanan boleh berbuat demikian dengan mengunjungi 26 cawangan LZS di seluruh Selangor atau mengisi borang kebenaran secara atas talian di www.zakatselangor.com.my.
Pencarum juga berpeluang memenangi hadiah menarik dari LZS dengan hanya melengkapkan borang penyertaan dan slogan mudah di portal zakat negeri berkenaan.
“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab LZS untuk menguruskan dana zakat ini sebaik-baiknya dengan telus, adil selain memastikan keberkesanan agihannya,” katanya.
Mohamad Adzib berkata selain membantu asnaf dari segi kewangan, LZS turut membantu golongan itu dari segi latihan keusahawanan bagi membantu mereka yang berpotensi menjalankan aktiviti perniagaan.
Pada majlis itu, LZS turut menyerahkan lori bergerak kepada 45 usahawan asnaf yang bertujuan membantu meluaskan perniagaan mereka. – BERNAMA