KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin memaklumkan beliau akan membuat permohonan kedua untuk melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara di Sungai Buloh di sini.
Beliau mendakwa, permohonan itu bagi urusan rasmi pertemuan beliau selaku ADUN Seberang Jaya dengan Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh.
“Saya selaku ADUN Seberang Jaya di bawah Parlimen Permatang Pauh ingin memohon buat kali kedua untuk bertemu dengan beliau bagi menyelesaikan beberapa urusan rasmi melibatkan peruntukan dan keputusan polisi di Parlimen Permatang Pauh.
“Tujuan permohanan ini dikemukakan kepada pihak penjara adalah bertujuan bagi membincangkan beberapa urusan rasmi yang melibatkan kawasan Parlimen Permatang Pauh dan bagi mendapatkan kelulusan peruntukan daripada beliau,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Afif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang berasa kesal dengan tindakan Jabatan Penjara melarang beliau melawat Anwar atas faktor keselamatan melalui panggilan telefon tanpa sebarang surat rasmi sebelum ini.
“Segala urusan adalah melibatkan kepentingan rakyat yang diwakili beliau di Permatang Pauh. Beliau (Anwar) berhak untuk menjalankan tugas beliau sebagai Ahli Parlimen,” dakwanya.
- MYNEWSHUB.CC