SENDAI (Jepun) – Malaysia bercadang membentuk semula agensi pengurusan bencana untuk menjadikannya lebih mantap sejajar dengan senario bencana semasa negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia juga berhasrat untuk menubuhkan pusat kecemerlangan bagi penyelidikan berkaitan pengurusan bencana, selain menyediakan sistem amaran awal yang berkesan.
“Bencana banjir pada Disember 2014 yang melanda Malaysia mengingatkan kami bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dalam membina daya tahan negara dalam berdepan bencana.
“Kami kini mengkaji dan belajar daripada amalan terbaik di negara lain dengan tujuan untuk menerapkannya di mana yang sesuai,” katanya ketika berucap kepada perwakilan ke Persidangan Dunia Mengenai Pengurangan Bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kali ketiga di sini hari ini.
Beliau berkata, sistem amaran awal yang berkesan boleh membawa perubahan dalam soal antara hidup dan mati dan untuk tujuan ini, Malaysia sedang mengkaji untuk menggabungkan sistem amaran awal negara.
“Keupayaan untuk menyampaikan maklumat penting dan kesan ramalan kepada kumpulan sasaran yang bersesuaian akan membolehkan keputusan yang pantas dan betul dibuat,” katanya.
Muhyiddin berkata perubahan terkini yang memberi kesan kepada alam sekitar menjadikan pewujudan pengurusan bencana yang lebih holistik dan berinovasi suatu perkara mandatori bagi Malaysia.
“Perkara ini menjadi semakin mendesak berikutan kesalinghubungan yang rapat dan rangkaian kukuh yang wujud antara risiko bencana dan cabaran utama lain dalam pembasmian kemiskinan, perbandaran dan pengurangan yang mampan. Ini adalah cabaran yang nyata terhadap kestabilan alam sekitar kita dalam mendepani iklim global yang berubah-ubah,” katanya.
Muhyiddin berkata Pengurangan Risiko Bencana sentiasa menjadi sebahagian daripada dasar pembangunan Malaysia dan Malaysia telah menzahirkannya menerusi penyediaan sumber yang banyak untuk mengurangkan faktor risiko tersembunyi dan menggalakkan pembangunan mampan – “Rancangan Lima Tahun Malaysia”.
“Kami kini dalam Rancangan Malaysia ke-11 dan kami akan memberi tumpuan yang jelas terhadap pengukuhan pengurusan risiko bencana, meliputi kaedah struktur dan bukan struktur.
“Lima fasa pencegahan bencana, pengurangan, kesiapsiagaan, tindak balas, dan pemulihan akan diberi penekanan bagi menangani masalah banjir dan bahaya yang sedang memuncul dalam cara holistik, “kata Muhyiddin.
Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia adalah negara yang sentiasa dianggap kurang rentan namun pada tahun-tahun kebelakangan ini, Malaysia semakin terdedah kepada pelbagai bencana alam berkaitan iklim, sebahagiannya disebabkan perubahan iklim.
“Musim tengkujuh pada akhir tahun 2014 yang mengakibatkan banjir adalah bencana paling teruk pernah berlaku dalam sejarah negara, memberi kesan kepada lebih setengah juta orang manakala kerosakan infrastruktur awam sahaja dianggarkan bernilai RM2.851 bilion.
“Kawasan yang tidak pernah dilanda banjir sebelum ini juga digenangi air dan paras air meningkat ke tahap yang belum pernah terjadi sebelum ini,” katanya.
Muhyiddin berkata dalam konteks Asia Tenggara, penubuhan Jawatankuasa Asean Mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) pada tahun 2003, telah membawa kemajuan ke arah membina daya tahan negara anggota Asean.
“Malaysia sentiasa memberi sepenuh komitmen, menyokong inisiatif Asean untuk mengurangkan risiko dan bertindak balas secara kolektif serta pantas semasa berdepan bencana di rantau ini. Sebagai Pengerusi Asean, Malaysia akan mengambil inisiatif untuk merealisasikan wawasan “ASEAN Memberi Respons Kepada Bencana secara Bersepadu,” katanya.
Muhyiddin kini dalam lawatan kerja empat hari ke Jepun bermula semalam dengan menghadiri persidangan itu pada hari ini dan esok.
Persidangan Dunia Mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Sendai, kira-kira 380 km dari Tokyo, bermula hari ini hingga Mac 18. Ia berlangsung di tengah-tengah wilayah Tohoku, yang digegar gempa bumi pada 2011 dan bencana tsunami yang membawa kepada krisis Fukushima. – BERNAMA