KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan menganjurkan Malaysia Megameet 2015 dalam usahanya untuk meningkatkan jumlah bilangan pelancong dari luar negara sempena Tahun Festival Malaysia 2015.
Seminar yang berlangsung selama lima hari bermula dari 29 Mac hingga 2 April itu melibatkan delegasi seramai 119 agen pelancongan, 20 media antarabangsa dan empat wakil syarikat penerbangan dari negara luar yang mengambil bahagian.
Program Malaysia Megameet merangkumi seminar pelancongan, perkembangan produk pelancongan yang ditawarkan dan lawatan ke tempat-tempat menarik pelancongan di Malaysia.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab merasmikan majlis pelancaran Malaysia Megameet 2015 yang berlangsung di Hotel Istana, pagi Isnin.
Majlis pelancaran itu turut dimeriahkan dengan persembahan peragaan pakaian tradisional etnik suku kaum yang terdapat di Malaysia semasa mengiringi ketibaan Mirza.
Dalam majlis itu juga, wakil daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Genting Berhad turut mengadakan taklimat mengenai produk baharu mereka yang turut terlibat sebagai salah satu produk pelancongan yang bekerjasama dengan kementerian tersebut.
Produk pelancongan yang dijalankan oleh DBKL adalah acara KL Big Kitchen yang bakal diadakan Mei ini sementara Genting bakal menawarkan keseronokan tak terhingga buat pengunjung menerusi projek mega mereka, Taman Tema 20th Century Fox yang bakal beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun hadapan.
Menurut Mirza, tujuan utama Malaysia Megameet diadakan adalah untuk memberikan lebih pendedahan kepada agensi pelancongan dan pihak media antarabangsa mengenai tempat-tempat menarik di sini selain apa yang ada di tanah air yang boleh ditawarkan kepada mereka.
“Penerimaan baik yang diterima daripada pihak agensi luar termasuk para media adalah amat penting untuk meningkatkan lagi jumlah kunjungan pelancong dari luar untuk datang berkunjung ke sini.
“Kami berharap dengan mengadakan seminar seperti ini dapat memberikan motivasi kepada pihak media antarabangsa untuk memberikan lebih promosi dan publisiti menerusi penulisan artikel mereka.
Sementara untuk agensi pelancongan pula, kami berharap mereka sedikit sebanyak dapat memperoleh idea yang menarik dengan menawarkan pakej yang pelbagai untuk dilawati di Malaysia,” katanya.
Dalam lawatan itu juga, para delegasi itu juga bakal dibawa melawat ke pusat pelancongan menarik yang terdapat di tanah air antaranya di Pulau Pinang, Kedah, Royal Belum, Ipoh, Johor, Melaka dan Kota Kinabalu, Sabah dan Mulu National Park, Sarawak.
Pihak kementerian juga mendedahkan bilangan pelancong ke Malaysia tahun lalu adalah sebanyak 27.4 juta pengunjung, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding 25.7 juta pelancong pada tahun 2013.
Tahun ini menerusi program Malaysia Megameet yang dilancarkan, mereka berharap agar acara ini dapat meningkatkan lagi jumlah pelancong luar ke Malaysia sebanyak 29.4 juta menjelang hujung tahun ini. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: JULIANA JOHAR